Isnin, 14 Februari 2011

Selamat Menyambut Maulidurrasul 1432 Hijriah

Hari ini 12 Rabiul Awwal 1432 Hijriah merupakan hari yang sangat bersejarah bagi kita umat Islam di seluruh dunia amnya dan di Malaysia khususnya. Bertepatan pada tarikh tersebut, dunia telah dianugerahkan oleh Allah SWT. dengan hadiah yang tidak ternilai, iaitu kelahiran insan yang terunggul dan terhebat di alam sarwajagat ini. Baginda ialah Rasulullah SAW. sebagai penutup segala rasul dan pembawa rahmat, keselamatan, kedamaian  dan kesejahteraan kepada sekalian alam.

Rasulullah SAW. yang telah berdakwah selama hampir 23 tahun, iaitu 13 tahun di Makkah Al-Mukarramah dan kesinambungannya selama lebih kurang 10 tahun lagi di Madinah Al-Munawwarah. Baginda telah membuktikan dirinya sebagai rasul, pemimpin negara, imam dan guru kepada para sahabat, hatta sebagai rasul akhir zaman yang sangat kasih dan cintakan kepada umatnya.

Realiti ini dapat dibuktikan bilamana ketika baginda hampir wafat, baginda telah menyebut perkataan "ummati, ummati, ummati" sebagai tanda kasih dan sayangnya yang cukup mendalam kepada umatnya. Malah, baginda juga telah memohon kepada Allah SWT. supaya tidak mendatangkan azab atau bala kepada umatnya ketika di hidup dunia ini sepertimana yang telah Allah SWT. turunkan bala kepada umat nabi-nabi lain seperti umat Nabi Luth (Kaum Sodom), Kaum Ad, Kaum Tsamud dan lain-lain lagi.

Justeru, sempena kedatangan hari yang sangat istimewa ini, sudah sangat sewajarnyalah kita semua sebagai umat Islam dan ummat Rasulullah SAW. mensyukuri kedatangan hari tersebut dengan membuat satu tekad yang bulat dalam diri kita untuk memperbaiki dan memuhasabah diri kita menjadi umat Islam yang bertaqwa kepada Allah SWT. dengan mengimplimentasikan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan Allah SWT., berinisiatif melaksanakan sunnah Rasulullah SAW, memperbanyakkan selawat kepada Rasulullah, memperbanyakkan ibadah nawafil, zikrullah, tilawatil qur'an dan sebagainya.

Mudah-mudahan dengan kedatangan maulidurrasul ini, akan menyuntik semangat baru kepada kita semua untuk menjadi umat yang unggul dan terbaik, Insya Allah. Selamat menyambut maulidurrasul SAW 1432!! 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan